Genetik dan penanaman Pokok_Gandum

Genetik gandum adalah lebih rumit berbanding genetik haiwan ternakan. Sebilangan spesies gandum merupakan poliploidi yang stabil, dan mempunyai lebih daripada dua set kromosom diploid. Banyak jenis gandum tidak berbeza hanya dari segi genom tetapi juga dalam bilangan genom yang dipunyai. Empat daripada lima jenis gandum yang paling biasa adalah hasil pengacukan. Gandum Einkorn adalah baka diploid (2x kromosom) yang boleh dianggap sebagai "leluhur" gandum.

Gandum Einkorn menghibridkan dengan rumput diploid liar (Triticum speltoides, Triticum tripsacoides, atau Triticum searsii) untuk membentuk baka tetraploid (4x kromosom), iaitu Gandum Emmer dan Gandum Durum. Gandum Emmer dan Gandum Durum pula menghibridkan dengan lagi sejenis rumput diploid liar (Triticum tauschii) untuk menghasilkan baka heksaploid (6x kromosom), iaitu Gandum Spelta (Triticum spelta) dan Gandum Biasa (gandum yang digunakan untuk membuat roti).

Adakah Gandum Emmer dihibridkan secara semula jadi ataupun dengan senjaga merupakan satu persoalan yang dapat dipertikaikan. Pengacukan kedua-dua leluhur Gandum Emmer memerlukan mutasi penduaan kromosom yang merupakan satu mutasi yang tidak boleh kekal secara semula jadi melebihi beberapa generasi. Kesemua kejuruteraan genetik (pengacukan) ini dilakukan beribu-ribu tahun dahulu oleh petani kuno yang tidak sedar akan genetik moden atau kesulitan untuk menghibridkan tumbuhan-tumbuhan poliploidi.